Friday, May 11, 2012

SAMA-SAMA MERINDUI NABI

Kesan efek daripada buku Biografi Agung Nabi Muhammad dan juga peringatan-peringatan daripada Syeikh Rohimuddin telah memberikan impak yang besar dalam hidup aku.

Hampir setiap hari post-post di Facebook adalah mengenai kecintaanku terhadap baginda Muhammad s.a.w, dan niatku bukan untuk bermegah, berbangga atau menunjuk-nunjuk, tetapi ia adalah kecintaan dan kerinduan sebenarku.

Oleh kerana itu aku amat tidak bersetuju sekiranya ada suara-suara yang mengatakan, " kalau ye pun cinta Nabi, tak payah la nak kecoh2 kat Fb.." itu hanyalah contoh ayat sahaja, namun aku percaya, tidak sedikit yang mungkin beranggapan demikian.

Bagiku, cinta itu membahagiakan dan orang yang bahagia pasti ingin menyebarkan rasa bahagianya kepada orang lain.
seperti orang normal yang cintakan kekasihnya ( boyfriend, girlfriend, suami isteri ), pasti dia suka agar orang lain menghargai kekasihnya, mengenali kekasihnya. Demikian jugalah halnya dengan diriku, kecintaanku yang membuak-buak terhadap Nabi tidak dapat menghalang diriku daripada meluahkan perasaanku terhadapnya secara umum. Niatku ingin mengajak agar orang lain juga merasai apa yang aku rasai.

Itulah perbezaannya cinta diantara kekasih biasa dan juga Nabi Muhammad.
sekiranya ada orang lain yang mencintai dan merindui kekasih kita, pasti kita akan berasa cemburu, marah.. namun sekiranya setiap daripada kita mencintai Nabi Muhammad ( dengan menegakkan Islam dan mengamalkan sunnahnya) , perasaan mahabbah dalam kalangan umat pasti akan bercambah dan melahirkan institusi kemasyarakatan yang harmonis.

Aku umpama seorang 'promoter', yang mempamerkan kehebatan baginda Rasul melalui kecintaanku terhadapnya, agar orang lain turut merasainya. Aku ingin tunjukkan kepada orang ramai bahawa baginda adalah manusia yang selayaknya untuk dicintai.

Bercakap soal rindu, aku tidak main-main. hatiku pasti bergelora mendengar kisah keperibadiaannya, terlalu sempurna. Maka aku hampir setiap malam solat hajat memohon kepada Tuhan agar dipertemukan aku dengan baginda. Bagi aku, orang-orang yang penuh dosa kotor lagi hina ini mungkin bertatap wajah dengan baginda di dalam mimpi teramatlah jauh walaupun pada hakikatnya kuasa Allah itu mengatasi segalanya, namun aku sangat sangat sangat berharap semoga di Akhirat kelak aku adalah insan terpilih yang mendapat syafaat baginda, bersama-sama baginda memasuki syurga nan indah lagi kekal abadi. ALLAH ALLAH ALLAH, MAKBULKAN PERMINTAANKU..

Terkadang timbul juga perasaan di hati, adakah layak untuk aku menggelarkan diri sendiri sebagai seorang pencinta Nabi, sedangkan gaya kehidupan seharian adalah seorang pendosa yang setia. Umpama orang yang terdesak mahukan segelas air di masa kehausan dalam suasana panas terik, aku mula menjinakkan diri dengan kitab Hadith 40 Terjemahan dan Syarahnya.
Terlalu inginkan menemui baginda sehingga aku mengambil keputusan untuk menghafaz keseluruhan 42 hadis yang terdapat di dalam kitab tersebut, insyaAllah. Dan Alhamdulillah beberapa buah hadis telah berjaya dihafal beserta dengan maksudnya.

Tidak dinafikan menghafal hadis lebih sukar berbanding dengan menghafal al-Quran, apatah lagi suasana sosial di IPG tidak dapat tidak, pasti aku akan didatangi tetamu setiap kali aku sedang menghafaz hadis. Namun aku menganggap hal tersebut sebagai cabaran yang perlu dihadapi. Apatah lagi menurut  Imam Hassan al-Banna, salah satu kewajipan seorang Muslim adalah menghafal 40 hadis.

Seperti yang diterangkan di atas tadi, niat aku bukan mahu menunjuk-nunjuk bahawa aku ini bagus, tidak sama sekali, tetapi sebenarnya aku ingin menyebarkan rasa kecintaan dan kerinduan kepada baginda Rasulullah s.a.w.

Oleh hal yang demikian, aku mengajak sahabat-sahabat untuk kembali menegakkan syariat Islam, hidupkan kembali kerajaan Islam, bermula dengan kita mengamalkan sunnah kehidupan baginda Rasulullah s.a.w.

Syeikh Rohimuddin menegaskan, "syarat cintakan Allah adalah dengan mencintai Muhammad s.a.w.

wallahua'lam..

( penulis adalah insan hina bernama Ariff Al-Baqi bin Mohd Iskandar, pelajar IPG Kampus Pulau Pinang, bukan pelajar ambilan Pengajian Agama. sebarang pembetulan atau penambahbaikan mengenai tulisan dan perkongsian ini adalah amat dialukan kerana saya seorang faqir yang rendah diri berkongsi ilmu sekadar yang termampu. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa saya, dan memberkati kehidupan anda, insyaAllah )