Tuesday, April 26, 2016

TIPS MENULIS NOVEL SENDIRI PART 1


1. Baca lebih banyak buku fiksyen.

2. Usah hadkan diri kita dengan satu genre sahaja. Sesekali cuba kita melangkah keluar dengan membaca genre-genre yang lain.

3. Analisa cerita kegemaran yang terdapat pada buku, tv atau filem untuk mengenalpasti apa yang sesuai diceritakan ataupun tidak.

4. Cuba ingati falsafah setiap penulis dan kita juga perlu mencipta falsafah sendiri dalam penulisan kita.

5. Tulis sesuatu yang berada di hati kita.

6. Kebanyakan cerita fiksyen yang terbaik datang dari kisah benar. Catatlah cerita yang menarik minat kita sama ada didengari dari rakan atau membacanya di laporan akhbar.

7. Kehidupan sebenar juga menjadi satu sumber inspirasi untuk watak-watak kita. Perhatikan rakan, keluarga dan orang di sekeliling. Masukkan aspek peribadi yang kuat untuk menulis watak-watak utama.

8. Teroka persekitaran dan keadaan hidup manusia.

9. Jadikan watak yang kita cipta itu seakan benar tetapi jangan diterangkan secara panjang lebar. Serlahkan ia melalui personaliti/perwatakan/ atau dialog.

10. Cari sesuatu yang baik pada penjahat dan sesuatu yang gelap pada kenangan lalu hero ciptaan kita.

11. Elak menerangkan atau memberitahu pembaca terlalu banyak tentang watak kita, sebaliknya tunjukkan personaliti watak-watak itu melalui tindakan dan interaksi mereka.

12. Berikan watak-watak kita halangan yang paling mencabar dan sukar diatasi. Buat mereka menderita. Dengan cara itu, ia akan menjadi sesuatu yang bermanfaat apabila mereka berjaya atau menang dalam sesuatu perlawanan atau ujian.

13. Adakah cerita anda bergerak terlalu cepat untuk pembaca atau mereka menguap melalui setiap perenggan? Babak cinta terlalu pendek? Babak berlawan terlalu panjang?

14. Masukkan unsur kemanusiaan yang berkualiti dalam karya kita. Contohnya pengorbanan, hidup dan mati, iman, takdir dan lain-lain.

15. Setiap cerita memerlukan permulaan, pertengahan dan pengakhiran. Pastikan kita faham dengan tiga struktur tindakan ini.

16. Setiap cerita yang hebat menuntut kepada perubahan. Watak-watak berubah, dan mudah-mudahan, pembaca juga akan berubah.

17. Pembaca kita telah melaburkan wang untuk cerita kita. Mereka berhak mendapat ganjara emosi dan pengetahuan. Bina cerita yang mengujakan dan memuaskan.

18. Perkayakan plot utama dengan subplot. Dalam kehidupan sebenar, ada banyak peristiwa yang berlaku serentak. Ada orang sedang menyelamatkan dunia dari cengkaman raksasa, pada masa yang sama ada orang yang sedang mengkhianati sahabatnya.

19. Jangan takut untuk meletakkan sedikit unsur kecindan dalam cerita seram dan babak cinta dalam novel Thriller.

20. Hafal perjalanan hidup hero.

21. Research!

Friday, April 8, 2016

REVIEW NOVEL KORBAN PART 4

DARI FACEBOOK SIRNA QASEH:

KORBAN…
Siapakah yang terkorban? Siapa yang berkorban? Kenapa Korban?
Korban, mengisahkan pengembaraan Hairil dan sahabat karibnya Zahid yang penuh dengan suka dan duka. Hairil digambarkan sebagai seorang anak muda yang menjalani kehidupan sebagai yatim piatu dan memiliki keistimewaan yang tidak diketahuinya. Pertarungan pertama telah membuka sedikit rahsia hidup yang membuatkan dia tertanya-tanya siapakah dirinya yang sebenar. Kelaziman seorang remaja yang bersifat ingin tahu, berdarah panas, tidak memikirkan risiko yang bakal diterima. Gelojoh dalam membuat keputusan tanpa pertimbangan yang wajar menyebabkan mereka berdua tercampak ke zaman kegelapan di mana pada zaman itu, para pendekar berlumba-lumba untuk menjadi yang terhebat dan digeruni sahabat mahu pun lawan. Kehebatan yang semestinya bergantung kepada syaitan dan iblis yang sentiasa mencari peluang dan ruang untuk menyesatkan mereka-mereka yang taksub dengan kehidupan duniawi. Penuh dengan dendam kesumat hanya kerana CINTA dan pengkhianatan tanpa mengira siapa, samada anak, ayah, ibu, saudara, ipar duai. Kebencian yang membawa kepada pembunuhan demi pembunuhan. Peristiwa demi peristiwa, pertanyaan demi pertanyaan, pertarungan demi pertarungan, peperangan demi peperangan yang tiada kesudahan hanya kerana dia ‘SEMARAK KEZALIMAN’ Siapa Semarak Kezaliman? jeng jeng jeng..
Tertanya-tanya juga siapakah Panglima Hitam. Mengapa dia terlalu mengambil berat terhadap Hairil yang baru ditemuinya? Menyampah dengan kedegilan Hairil yang bertingkah keanak-anakan. Kadangkala amarahnya tidak terkawal. Kadangkala hambatan perasaan melemahkan semangat juang. Tekanan demi tekanan, bisa menggoyahkan rasa. Sekuat mana pun, tetap ada titisan air jernih yang mengalir. Namun kebergantungannya hanya kepada yang SATU biarpun adakalanya goyah tetapi bisikan-bisikan pujukan, biasan kata-kata positif daripada insan-insan yang akrab dapat menyejukkan panas yang membahang dan menyedarkannya dari khilaf yang bisa menjebakkan dirinya kearah kesesatan yang nyata lantas dia memperbaharui syahadah. Sesuatu yang tidak dijangkakan, menyerlahkan keistimewaan Korban, tidak boleh ditebak. Memaksa untuk terpaku dan menyelak helaian demi helaian sehingga ke bab-bab terakhir walhal pada bab permulaan beberapa kali novel ini ditolak ketepi bagi memberi ruang untuk menghadam apa yang ingin disampaikan.
Menjiwai Korban, seakan menonton sebuah filem garapan James Gunn@Guardian of the galaxy, J.K. Rowling@Harry Porternya. Korban digarap penuh teliti. Plot yang tersusun, latar yang menarik. Lenggok bahasa yang indah, naratif yang seimbang. Sesekali terasa seperti membaca tulisan penulis thriller nombor satu Malaysia. Berkali-kali seperti membaca cerita klasik dulu-dulu seperti Hikayat Merong Mahawangsa. Penuh dengan kata bidalan yang sangat popular dalam kalangan masyarakat melayu. Sebagai contoh “konon hendak merentasi samudera tetapi lemas di persisiran pantai,” “belum duduk sudah berlunjur.” Tiada cacat dan celanya novel ini hatta ejaannya. Tak jumpa pun so called “typo error.” Sungguh teliti pembikinannya.
Elemen paling penting di dalam penceritaan ini, adalah AMANAH sebagai penulis yang bertanggungjawab ke atas penulisannya. Menyuntik aura positif kepada sesuatu yang bersifat negatif. Ibarat tersesat dihujung jalan, kembali ke pangkal. Sesuai dengan tagline “Andai terbentang peluang untuk membalas dendam, maka pilihlah untuk memaafkan”
Untuk mengetahui siapakah Hairil, siapa Semarak Kezaliman, siapakah pula sang puteri rupawan yang telah berjaya mengocak ketenangan hati sang jejaka sehingga tindak tanduknya telah membahayakan diri dan insan-insan disekelilingnya, dapatkan lah novelnya ye. Syabas buat penulis Arifful Baqi.
Keep it up. Well done.