Friday, December 19, 2014

KEISTIMEWAAN RASULULLAH- bahagian 1

Keistimewaan Rasulullah (Kiyahi Haji Sirajuddin Abbas)



Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam merupakan kekasih ALLAH, orang mulia yang lebih mulia dari sekalian makhluk, lebih mulia dari langit dan bumi, lebih mulia dari bulan dan matahari, lebih mulia dari Arasy dan Kursi dan bahkan lebih mulia dari para nabi dan wali. Pendeknya Rasulullah lebih mulia dari sekalian makhluk.

Bukti-buktinya seperti yang disebutkan di dalam al-Quran dan Hadis :

1. Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam adalah utusan ALLAH

Firmannya-

Apa jua kebaikan (ni'mat kesenangan) yang Engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah (kesalahan) dirimu sendiri, dan Kami telah mengutus Engkau (Wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat), dan cukuplah ALLAH menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini). surah an-Nisaa ayat 79


2. Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam dilantik menjadi Rasul untuk seluruh manusia dan Jin di dunia ini.

Firmannya-

katakanlah (Wahai Muhammad): "wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah pesuruh ALLAH kepada kamu semuanya, (diutus oleh ALLAH) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia: Yang menghidupkan dan mematikan, oleh itu berimanlah kamu kepada ALLAH dan RasulNya, Nabi Yang Ummi Yang beriman kepada ALLAH dan kalimah-kalimahNya (kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk". surah al-A'raf ayat 158

Ibnu Kathir mengatakan bahawa Nabi Muhammad diutuskan kepada semua tanpa mengira suku bangsa. pendeknya jika sampai dakwah Rasulullah kepadanya dan ia tidak beriman, maka jadilah mereka orang kafir.

Berbeza dgn nabi terdahulu yang hanya dirasulkan untuk kaumnya sahaja.


3. Mengikuti Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam syarat mutlak untuk mendapat kasih sayang ALLAH

FirmanNya-

Katakanlah (wahai Muhammad): "jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah daku, nescaya ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu, dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. surah al-Ilmran ayat 31


4. Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam adalah makhluk yang paling mulia

FirmanNya-

Dan Kami telah meninggikan bagimu: sebutan namamu (dengan mengurniakan pangkat Nabi dan berbagai kemuliaan). surah al-Insyirah ayat 4

Maksud ayat ini ialah bahawa nama Nabi Muhammad telah diangkat tinggi oleh ALLAH. Bagaimana ALLAH mengangkat tinggi nama Nabi Muhammad tersebut dalam sebuah hadis-

Dari Abi Sa'id Al-Qudri, dari Nabi sallallahu a'laihi wasallam, baginda bersabda: datang Malaikat Jibril kepadaku, maka ia berkata : Tuhanku dan Tuhanmu bertanya: bagaimana caranya Aku mengangkat nama engkau? saya menjawab : ALLAH yang lebih tahu. Jibril berkata: ALLAH mengatakan : Apabila namaKu disebut maka nama Engkau disebut bersama Aku."

Menurut sayyidina Abdullah bin Abbas RA, gandingan nama ALLAH dengan nama Rasulullah adalah :

a- dalam membaca syahadat
b- dalam khutbah
c- dalam azan
d- dalam iqamat

Justeru tidak sah syahadahnya diucapkan tanpa menyebut nama Nabi Muhammad.
Keimanan seseorang dengan pengakuan terhadap ketuhanan Yang Esa belum cukup kalau tidak digandingkan dengan pengakuan terhadap kerasulan Nabi Muhammad dengan menggandingkan nama baginda di belakang nama ALLAH di dalam syahadah.


5- Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam telah diperkatakan oleh ALLAH kepada para nabi sebelum baginda dilahirkan ke dunia

FirmanNya-

Dan ingatlah ketika ALLAH mengambil perjanjian setia dari Nabi-nabi (dengan firmanNya); "sesungguhnya apa jua kitab dan hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang pula kepada kamu seorang Rasulu yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman sungguh-sungguh kepadaNya, dan hendaklah kamu bersungguh-sungguh menolongnya". ALLAH berfirman lagi (bertanya kepada mereka); "sudahkah kamu mengakui dan sudahkah kamu menerima akan ikatan janjiKu yang demikian itu?" mereka menjawab: "Kami berikrar (mengakui dan menerimanya)". ALLAH berfirman lagi: "Jika demikian, maka saksikanlah kamu, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu." surah al-Imran ayat 81

Al-Tabrani menyatakan : saidina Ali bin thalib di dalam mentafsirkan ayat ini berkata : seluruh Nabi yang dilantik ALLAH sejak dari Nabi Adam diambil perjanjian dengan ALLAH bahawa jika Nabi Muhammad kebetulan dilantik menjadi Rasul ketika Nabi-nabi itu masih hidup, maka Nabi-nabi itu wajib beriman dengan Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam dan menolong baginda sallallahu a'laihi wasallam di dalam menjalankan syariat Islam (at Tabrani jilid3 halaman 323)


Ini petanda bahawa Nabi Muhammad adalah Nabi yang paling mulia dan lebih tinggi darjatnya berbanding Nabi-nabi yang lain.
Masih beranikah orang Islam menyamakan Nabi Muhammad dengan orang biasa?


bersambung..


rujukan :Kuliah Dhuha- Keistimewaan Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam (Kiyahi Haji Sirajuddin Abbas)- disampaikan oleh al-fadhil ustaz Hj Rosli bin Othman: ahli majlis fatwa negeri Pulau Pinang)

Saturday, April 12, 2014

MENCARI RASULULLAH PADA HARI KIAMAT



Ya Rasulullah. Di akhirat nanti di manakah kita boleh berjumpa dengan Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam? Rasulullah bersabda :

Daripada Anas bin Malik RA, beliau pernah berkata: 'Aku pernah bertanya kepada Nabi sallallahu a'laihi wasallam agar memberi syafaat kepadaku di hari kiamat. Katanya lagi, baginda sallallahu a'laihi wasallam berkata : 'Aku yang akan memberinya'. Kata Anas RA: ' Di manakah aku boleh berjumpa kamu di hari kiamat wahai nabi Allah?

Nabi salllallahu a'laihi wasallam bersabda : ' Mintalah syafaat kepadaku seawal kamu berada di titian sirat. Anas RA berkata lagi : Aku berkata : Sekiranya aku tidak menemui kamu di titian sirat? Nabi sallallahu a'laihi wasallam bersabda : ' ketika itu aku berada di neraca al-mizan." Anas RA berkata lagi : Aku berkata: Sekiranya aku tidak menemui kamu di neraca al-mizan? Nabi sallallahu a'laihi wasallam bersabda : ' ketika itu aku berada di telaga kautsar. Aku tidak akan terasing daripada ketiga-tiga tempat ini di hari kiamat". ( Riwayat Imam Ahmad dan At-Tirmizi)

Bagaimana kita bayangkan keadaan Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam berulang-alik antara ketiga-tiga tempat ini, sibuk untuk memberi syafaat kepada umat-umatnya supaya baginda sallallahu a'laihi wasallam dapat menolong umatnya di hari kebangkitan nanti. Cuba kita bayangkan Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam berulang alik antara ketiga-tiga tempat tersebut.

Rujuk : Mahabbatur Rasul : Abu Ali Al-Banjari Syeikh Fahmi Zamzam, Mudir Pasentren Yayasan Islam Nurul Hidayah (YASIN)

Sewaktu di padang mahsyar nanti, Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam berada di bawah panji yg bernama Liwa'ul Hamdi (panji-panji kemuliaan) supaya umat baginda sallallahu a'laihi wasallam tahu di mana baginda berada. Maka diberi keutamaan kpd mereka yg paling byk berselawat ke atas Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam..

WALLAHUA'LAM

Wednesday, April 9, 2014

BAGAIMANA RASULULLAH DIGELAR KEKASIH ALLAH

Kerinduan bertemu dengan Rasulullah


Firman ALLAH:

maksudnya : "Kamu kekasihku wahai Muhammad sallallahu a'laihi wasallam."

Apabila tiba masa untuk Nabi Ibrahim dipanggil pulang untuk bertemu dengan ALLAH, Jibril bertemu Nabi Ibrahim dengan menyatakan :

"Wahai Ibrahim, sebelum kamu meninggalkan alam yang fana' ini, kamu akan berada di alam akhirat, apakah sesuatu yang kamu inginkan supaya kamu dikenali oleh anak-pinak kamu dan insan seluruhnya?"

Lantas Nabi Ibrahim menjawab, " Sekiranya diberi pilihan, aku mahu dikenali sebagai  Khalilullah ( sahabat yang paling rapat dengan ALLAH)."

ALLAH memperkenankan permintaan Nabi Ibrahim sehingga hari in Nabi Ibrahim disebut sebagai Ibrahim Khalilullah.

Apabila Nabi Musa hendak dipanggil menghadap ALLAH, Jibril datang menemui baginda dan berkata, "Ibrahim sebelummu telah meminta kepada ALLAH dan ALLAH telah memberi gelaran Khalilullah kepadanya dan kamu wahai Musa, apa yang kamu mahu?"

Kata Nabi Musa, "Aku mahu dikenali sebagai kalimullah."

Firman ALLAH, maksudnya :

dan ALLAH telah berkata-kata kepada Nabi Musa dengan kata-kata (secara langsung, tidak ada perantaraan)" : surah An-Nisa':164

Begitu juga sebelum Nabi Isa diangkat ke langit, baginda diajukan persoalan yang sama. Berkata Nabi Isa : "Kejadian aku khusus tanpa bapa; yang lain semua lahir dengan bapa kecuali Adam yang tidak beribu dan tidak berbapa."

Firman ALLAH, maksudnya :

"Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta aku tiupkan padanya roh daripada (ciptaan)-Ku".
( surah Al-Hijr :29)

Maka kata Nabi Isa : "Aku mahu dikenali sebagai ruhullah." Permintaan itu diperkenankan oleh ALLAH.

Apabila tiba waktu insan yang kita cintai, Muhammad bin Abdullah dibawa untuk menghadap ALLAH, soalan yang sama juga diajukan kepada baginda sallallahu a'laihi wasallam : "Aku lahir sebagai anak yatim, hidupku dalam kemiskinan. Aku mahu dikenali sebagai yatim dan fakir."

Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam memilih nama itu pada saat orang Arab tidak suka dengan gelaran seperti itu. Menyebut perkataan yatim, seakan-akan hina pada pandangan masyarakat Arab ketika itu.

Lantas ALLAH berfirman di dalam hadis qudsi :
"Andai itu yang kamu minta wahai Muhammad, ketahuilah manusia akan mengenali kamu dengan permintaanmu itu tetapi Aku mahu kamu dikenali sebagai kekasih-Ku."

Gelaran 'kekasih-Ku' tidak diilhamkan kepada Nabi-nabi yang sebelumnya tetapi hanya khusus untuk Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam. Begitu juga dengan nama 'Muhammad'. Sejak daripada Nabi Adam dan keturunannya, tiada siapa diberi nama Muhammad kecuali Nabi kita Muhammad sallallahu a'laihi wasallam.

Suatu hari Abdul Mutallib bermimpi, dalam mimpinya, beliau melihat langit terbelah dan keluarlah dari celahan belahan itu rantaian biji permata yang disusun menjadi satu tali yang panjang.

Tali yang panjang itu turun dari langit merentasi langit bumi, mendekati dirinya dan mencecah ke tulang belakangnya. Kemudian rantaian batu permata yang indah itu ditarik semula ke atas hingga hilang daripada pandangan.

Abdul Mutallaib memahami maksud mimpi itu bahawa daripada benihnyalah akan lahir seorang nabi daripada keturunannya yang akan menyambung antara seorang nabi dengan seorang nabi yang lain sehingga sampai ke hadrat ALLAH.

Akhirnya lahirlah Muhammad sallallahu a'laihi wasallam, anak yatim dan faqir yang dipilih ALLAH sebagai habibullah atau kekasih-Nya.


ALLAHUMMA SOLLI A'LA SAYYIDINA MUHAMMAD 1000x


rujuk : Mahabbatur Rasul

Sunday, March 30, 2014

UWAIS AL-QARNI

Assalammualaikum wbt, 
Tahukah kamu siapakah Uwais al-Qarni? Uwais al-Qarni merupakan pemuda yang disebut-sebut namanya oleh Rasullulah saw kepada para sahabat baginda. 

Rasullulah saw pernah berpesan kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra bahawa akan lahir di kalangan tabiin seorang yang sangat makbul doa yang akan lahir di zaman kamu (zaman selepas kewafatan Rasullulah saw). 

Tujuan Rasullulah saw menyuruh Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra mencari Uwais al-Qarni tidak lain ialah meminta Uwais al-Qarni berdoa kepada Allah supaya mengampunkan dosa-dosa sahabat (Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra). 

Marilah kita lihat apa istimewanya Uwais al-Qarni sehingga Rasullulah saw meminta sahabat mencari dan meminta doa darinya. 
Memang benarlah kata-kata Rasulullah S.A.W, Uwais al-Qarni akhirnya muncul di zaman Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra. Kedua-dua mereka yang memang menunggu dan mencari kabilah-kabilah yang datang dari Yaman ke Madinah, akhirnya bertemu juga dengan Uwais al-Qarni. Pada pandangan mata kasar mereka, tidak mungkin dia adalah orang yang Rasulullah saw sebut-sebutkan ini kerana, Uwais Al-Qarni dianggap sebagai seorang yang kurang waras di kalangan orang awam atau penduduk setempat.
Uwais Al-Qarni adalah seorang yang berpenyakit sopak di seluruh tubuh badannya, yakni sejenis penyakit kulit yang tidak digemari ramai. Walaupun begitu, beliau adalah seorang yang soleh yang amat mengambil berat tentang ibunya yang uzur dan lumpuh. Beliau begitu tekun untuk mendapatkan keredhaan ibunya. Bapa beliau meninggal dunia ketika beliau masih kecil lagi. Beliau berpenyakit sopak sejak dilahirkan dan ibunya menjaganya sampai beliau dewasa.
Suatu hari ibunya memberitahu kepada Uwais Al-Qarni bahawa dia ingin sekali untuk mengerjakan ibadat haji. di Mekah. Ibunya menyuruh Uwais Al-Darni supaya berikhtiar agar beliau dapat membawanya ke Mekah untuk menunaikan haji. Sebagai seorang yang miskin, Uwais Al-Qarni  tidak berdaya untuk mencari perbelanjaan untuk ibunya kerana pada zaman itu kebanyakan orang pergi menunaikan haji dari Yaman ke Mekah perlu menyediakan beberapa ekor unta yang dipasang di atasnya ‘Haudat’. Haudat ialah sebuah rumah kecil yang diletakkan di atas unta untuk melindungi diri daripada cuaca panas matahari dan hujan. 

Uwais tidak mampu menyediakan perbelanjaan untuk ibunya pergi mengerjakan haji apatah lagi untuk memiliki unta.
Namun atas permintaan ibunya yang sangat Uwais kasihi. Uwais Al-Qarni mendapat suatu ilham. Beliau membeli seekor anak lembu yang baru lahir dan sudah habis menyusu. Beliau membuat sebuah rumah di atas ‘Tilal’ (tanah tinggi). Rumah untuk lembu itu dibina di atas bukit, apa yang beliau lakukan ialah pada petang hari beliau akan mendukung anak lembu untuk naik ke atas Tilal. Pagi esoknya beliau akan mendukung lembu itu turun dari Tilal tersebut untuk diberi makan. Itulah yang dilakukannya setiap hari. Ada ketikanya dia mendukung lembu itu mengelilingi bukit tempat dia memberi lembu itu makan. Perbuatan yang dilakukannya ini menyebabkan orang mengatakan beliau kurang waras.
Memang pelik, membuatkan rumah untuk lembu di atas bukit, kemudian setiap hari mengusung lembu, petang dibawa naik, pagi dibawa turun bukit. 

Namun sebenarnya jika dilihat di sebaliknya, Uwais al-Qarni seorang yang bijak. Lembu yang asalnya hanya 20kg, selepas 6 bulan lembu itu sudah menjadi 100kg. Otot-otot tangan dan badan Uwais Al-Qarni pula menjadi kuat hinggakan dengan mudah mengangkat lembu seberat 100kg turun dan naik bukit setiap hari.
Selepas 8 bulan, apabila sampai musim haji. Rupa-rupanya perbuatannya selama ini adalah satu persediaan untuk beliau membawa ibunya mengerjakan haji. Beliau telah memangku ibunya dari Yaman sampai ke Mekah dengan kedua tangannya. Di belakangnya beliau meletakkan barang-barang keperluan seperti air, roti dan sebagainya. Lembu yang beratnya 100kg boleh didukung dan dipangku inikan pula ibunya yang lebih ringan. Beliau membawa (mendukung dan memangku) ibunya dengan kedua tangannya dari Yaman ke Mekah, mengerjakan Tawaf, Saie dan di Padang Arafah dengan senang sahaja. Uwais juga memangku ibunya dengan kedua tangannya pulang semula ke Yaman dari Mekah.
Setelah pulang semula ke Yaman, ibunya bertanya:
Uwais, apa yang kamu doakan sepanjang kamu berada di Mekah?
Uwais Al-Qarni menjawab:
Saya berdoa minta supaya Allah mengampunkan semua dosa-dosa ibu”.
Ibunya bertanya lagi:
Bagaimana pula dengan dosa kamu?
Uwais Al-Qarni menjawab:
Dengan terampun dosa ibu, ibu akan masuk syurga. Cukuplah ibu redha dengan saya, maka saya juga masuk syurga.
Ibunya berkata lagi:
Ibu inginkan supaya engkau berdoa agar Allah hilangkan sakit putih (sopak) kamu ini.
Uwais Al-Qarni berkata:
Saya keberatan untuk berdoa kerana ini Allah yang jadikan. Kalau tidak redha dengan kejadian Allah, macam saya tidak bersyukur dengan Allah Ta’ala.
Ibunya menambah:
Kalau ingin masuk ke syurga, mesti taat kepada perintah ibu. Ibu perintahkan engkau berdoa.
Akhirnya Uwais Al-Qarni tidak ada pilihan melainkan mengangkat tangan dan berdoa. Beliau lalu berdoa seperti yang diminta oleh ibunya supaya Allah menyembuhkan putih yang luar biasa (sopak) yang dihidapinya itu. 

Allah SWT lalu menyembuhkan serta merta, hilang putih sopak di seluruh badannya kecuali tinggal satu tompok sebesar duit syiling di tengkuknya. Tanda tompok putih kekal pada Uwais Al-Qarni kerana permintaannya, kerana sopak ini adalah satu anugerah, maka inilah tanda pengenalan yang disebut Rasulullah saw kepada Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra:
“Tandanya kamu nampak di belakangnya ada satu bulatan putih, bulatan sopak. Kalau berjumpa dengan tanda itu, dialah Uwais al-Qarni.”
Tidak lama kemudian, ibunya meninggal dunia. Beliau telah menunaikan kesemua permintaan ibunya. Selepas itu beliau telah menjadi orang yang paling tinggi martabatnya di sisi Allah. Saidina Umar ra dan Saidina Ali ra dapat berjumpa dengan Uwais Al-Qarni dan seperti yang diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W, mereka meminta supaya beliau berdoa agar Allah SWT berkenan mengampuni semua dosa-dosa mereka berdua.
Ketika Uwais al-Qarni berjumpa Saidina Umar dan Saidina Ali, beliau berkata:
“Aku ini datang dari Yaman ke Madinah kerana aku ingin menunaikan wasiat Rasulullah S.A.W kepada kamu iaitu supaya kamu berdua berjumpa dengan aku.”
Maka Uwais Al-Qarni pun telah mendoakan untuk mereka berdua.
Setelah itu Saidina Umar, yang ketika itu memegang jawatan Khalifah, saidina umar mahu membuat surat kepada Gabenor Kufah supaya melayan Uwais Al-Qarni dengan layanan yang istimewa. Namun begitu ditolak dengan baik oleh Uwais Al-Qarni. 

Lalu Uwais Al-Qarni menjawab dengan lembut :
“Berada di tengah-tengah orang ramai sehingga tidak dikenali lebih aku sukai.”
Diriwayatkan semasa kewafatan beliau, terlalu ramai “orang” yang menyempurnakan jenazah beliau. Daripada urusan memandikan sehinggalah dibawa ke liang lahad. Agak menghairankan kerana pada masa hidup beliau tiada orang yang memperdulikan beliau yang miskin. Malah ada yang menganggap beliau seorang yang gila. Siapakah “orang-orang” tersebut. Mereka itu adalah penduduk-penduduk langit yang terdiri daripada malaikat-malaikat.
Demikianlah kisah Uwais Al-Qarni yang amat taat dan kasih kepada ibunya. Seorang Wali Allah yang tidak terkenal di bumi, tetapi amat terkenal di langit. Wallahua’lam.