Sunday, May 14, 2017

SEJARAH KEHIDUPAN RASULULLAH : SIRI 1- TERBINANYA KAABAH



SEJARAH KEHIDUPAN RASULULLAH S.A.W

SIRI 1 : TERBINANYA BANGUNAN KAABAH

PENDAHULUAN

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar yang mulia Nabi Muhammad Sallallahu a’laihi wasallam.

Dalam menghargai nikmat Iman dan Islam, semestinya kita akan terkenangkan kisah perjuangan manusia pilihan TUHAN yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi melihat umat manusia berubah dari era kerosakan kepada kemajuan peradaban yang penuh dengan adab dan akhlak. Juga misi mengubah kepercayaan spiritual masyarakat yang ketika itu hidup berpaksikan berhala tidak bernyawa kepada keimanan mentauhidkan TUHAN YANG ESA.
                Tidak lain dan tidak bukan, insan pilihan TUHAN itu ialah Nabi Muhammad sallallahu a’laihi wasallam yang berjaya membawa revolusi ketamadunan sehingga ajarannya berkembang luas ke serata dunia sehingga ke hari ini. Menjadikan agama Islam sebagai agama terbesar yang dianuti umat manusia. Tidak hairan sekiranya seorang ahli sejarah dari Amerika, Michael Hart yang menulis buku bertajuk, ‘100 tokoh-tokoh berpengaruh sepanjang zaman meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh berpengaruh melebihi zamannya sendiri.
                Dari itu tergerak di hati saya untuk menulis sejarah kehidupan Rasulullah yang mulia, supaya dengannya tergerak di hati kita untuk menghayati rasa kasihnya kecintaan baginda kepada kita, umatnya. Yang dengannya saya menaruh harapan agar coretan sejarah ini dapat membuka tabir kejahilan umat yang tidak lagi mengenali Rasulullah sebagai tauladan hati.
                Sebelum dimulakan, adalah baik sekiranya kita mengetahui terlebih dahulu peristiwa yang terjadi sebelum Rasulullah dilahirkan, juga tentang sejarah bangsa Arab yang dapat dibezakan kehidupan mereka di antara sebelum dan selepas kelahiran baginda, serta perubahan besar Tanah Arab yang dapat difahami dengan menghayati sejarah hidup Rasulullah sallallahu a’laihi wasallam.
                Kisah ini juga akan dibahagikan kepada beberapa siri bagi memudahkan pembacaan dan penerimaan dalam menghayati sejarah manusia agung yang namanya tercatat di dalam kitab suci al-Quran.

TERBINANYA KAABAH

Kisah Nabi Ibrahim membawa isterinya Siti Hajar dan anak kesayangan mereka Ismail ke padang pasir tidak bertumbuhan dan kering kontang bukan perkara asing lagi bagi kita. Semuanya demi menurut perintah TUHAN supaya meninggalkan mereka di suatu tempat bernama Mekah.
                Semasa Nabi Ibrahim mahu meninggalkan mereka, isterinya berasa pelik kerana di situ tiada apa-apa yang boleh dimakan, diminum bahkan tiada manusia. Siti Hajar bertanya mengapa mereka ditinggalkan di situ tetapi tidak diendahkan oleh Nabi Ibrahim sehinggalah Siti Hajar bertanya, “adakah ini perintah ALLAH?”
                “Benar.” Jawab Nabi Ibrahim.
                Siti Hajar berkata dengan penuh yakin, “Jika begitu, pasti TUHAN tidak akan mensia-siakan kita. Sekiranya ini adalah perintah TUHAN, pasti ada pembelaan daripada TUHAN Yang Maha Baik itu.”
                Apabila si anak menangis kehausan, berlarilah Siti Hajar mencari air dari Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah dengan cemas memandangkan susunya yang telah mula kering. Kerana tingginya pengharapan dan rintihan Siti Hajar kepada TUHAN, TUHAN menghantar Jibril untuk memancarkan air zamzam apabila Ismail menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Inilah sejarah telaga zamzam yang masih lagi mengeluarkan airnya sehingga ke hari ini dan terletak berdekatan dengan bangunan Kaabah di Mekah.
                Menurut ahli sejarah, peristiwa ini berlaku selepas empangan besar Yaman bernama Sadd Maarib pecah. Empangan Maarib adalah empangan yang besar dan menjadi sumber air dan kehidupan di Yaman ketika itu. Selepas empangan itu pecah, bangsa Arab yang berasal dari Yaman berpindah dan mencari tempat baru. Suku Aus dan Suku Khazraj ke Madinah. Suku Ghasassisah ke negeri Syam. Suku Manazirah pula sampai ke sempadan Iraq.
                Pada masa itu, Suku Jurhum yang melalui kawasan berdekatan Mekah ternampak burung-burung berterbangan yang menandakan adanya air di kawasan itu. Mereka hairan kerana mengetahui bahawa Mekah tidak pernah mempunyai air lalu membuat keputusan untuk memeriksa sama ada benarkah ada air di situ.
                Apabila mereka melihat ada seorang perempuan bersama anak kecilnya di tempat air itu, mereka tidak cuba untuk merampasnya sebaliknya meminta izin daripada Siti Hajar untuk berkongsi air malah sanggup membayar sewa air itu.
                Selepas Ismail dewasa, TUHAN memerintahkan Ibrahim dan Ismail membina Kaabah di atas tapak asal Kaabah yang mula-mula dibina oleh Adam. Kaabah dari perkataan Arab yang bermaksud tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran, selain turut bermakna segi empat berbentuk kiub. Kaabah sudah dibina oleh Adam, manusia pertama ciptaan TUHAN tetapi kemudian runtuh dan terkambus.
                Dikatakan ALLAH telah memerintahkan Nabi Adam supaya mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit. Baitul Makmur merupakan tempat khas yang diciptakan TUHAN khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy. Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukannya untuk menghabiskan satu tawaf ia mungkin menjangkau waktu sehingga ke hari kiamat.
                Semasa Ibrahim dan Ismail hampir siap membina Kaabah, mereka mencari batu yang paling sesuai untuk diletakkan di satu penjuru, namun tidak menemuinya. Ketika itulah TUHAN menurunkan seketul batu dari syurga yang disebut Hajar Aswad, yang ada di dinding Kaabah sehingga hari ini.
                Kaabah hanyalah bangunan daripada batu yang disusun-susun. Bagaimana hendak memanggil orang supaya datang menziarahi Kaabah? Oleh itu, TUHAN memerintahkan Ibrahim membuat seruan kepada manusia.
                Ibrahim berkata, “Wahai TUHAN! Bagaimana suara aku boleh sampai kepada pendengaran semua manusia?”
                Tetapi TUHAN menegaskan , tugas Ibrahim hanyalah membuat seruan. DIAlah yang menyampaikan kepada manusia.
                Oleh itu, Nabi Ibrahim pun naik ke Bukit Arafah yang terletak dekat dengan Kaabah dan telaga Zamzam. Dari atas bukit itu baginda menyeru manusia dari seluruh dunia supaya datang menziarahi Kaabah. Suaranya didengari semua manusia dan TUHAN memasukkan ke dalam hati mereka untuk mencintai Kaabah. Dengan itu, bermulalah orang ramai datang melakukan ibadah haji dan memuliakan Kaabah. Sejak dari itu, bangsa Arab menganut agama Ibrahim yang satu iaitu agama yang hanya menyembah ALLAH.

Bersambung…

Rujukan:
Zulkifli dan Noor Naemah, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS ISLAMIKA SDN BHD, 2007

Abu Bakar Omar, Muhammad bin Abdullah,Pustaka Ilmuwan, 2013 

Wednesday, March 22, 2017

BERJALAN KE PONTIAN, JOHOR

Sempena cuti sekolah, memang ramai pasangan yang mengambil kesempatan ini untuk diijab kabulkan. Tidak terkecuali untuk Abang Sufi yang akan melangsungkan perkahwinannya dengan pilihan hati. Atas jemputan yang diberi, maka saya dan isteri mengambil masa untuk meraikan majlis mereka yang akan berlangsung di JOHOR.


Pasangan pengantin, Sufi dan Radhiatun
Abang Sufi inilah yang telah memperkenalkan saya dengan dunia haiwan eksotik, bermula dengan jual beli burung cockateil pada tahun 2013 dahulu.. he he he

Bersama Zikri, adik Sufi. Sahabat baik satu pengajian di IPG KPP tahun 2009-2014

Sempat singgah di Laman Diraja Pontian, Johor









Cukuplah gambar setakat itu aje, heheh..

Tak melawat banyak tempat, cuma itu aje sebab datang pun sebab kenduri kahwin. Apa pun, Johor memang terbaik. Harap dapat datang lagi dan bercuti di tempat-tempat menarik sekitar Johor selepas ini. InsyaALLAH.


Monday, March 20, 2017

KARYA KEDUA ARIFFUL BAQI- NOVEL THRILLER KIUB

SINOPSIS:

Satu pembunuhan tragis golongan militan ke atas kedua ibu bapa Zaki untuk mendapatkan KIUB telah mengubah segalanya. Zaki yang hidup digelumangi kemewahan terpaksa meninggalkan segalanya demi membalas dendam atas kematian insan tersayang. Namun, musuhnya bukan sembarangan. Mereka licik dan kejam. Nama mereka sahaja sudah cukup untuk memberi ketakutan kepada semua orang.
Dua tahun kemudian, pembunuhan semakin kerap berlaku. Tubuh mangsa seakan dirobek dengan benda yang tajam. Mira Hafizah pula menjadi suspek utama. Inspektor Zakwan yang mengendalikan kes ini pula semakin buntu dan tertekan untuk menyelesaikan masalah ini. Apabila detik perhitungan telah tiba, pasti akan ada darah yang tumpah. Pasti ada jiwa yang akan terkorban.
ZAKI- Mempunyai semangat yang berkobar-kobar. Kemaraannya umpama ribut yang membadai pantai. Antara dendam dan keadilan, dia harus memilih salah satu!
SAIFUL- Lelaki pendendam yang sukakan keganasan. Tiada ruang untuknya memberi kemaafan kepada sesiapa yang telah melakukan kesilapan. Hanya darah yang mampu memberi kepuasan kepadanya. Merupakan ketua kepada geng militan. Perampas kelima-lima kiub daripada ayah Zaki, Fakhruddin.
KIUB- Satu kuasa yang tidak dapat dicapai dek akal fikiran manusia. Sesiapa yang memilikinya sukar ditandingi dan ditewaskan oleh manusia biasa.