Tuesday, June 20, 2017

KARYA TERBAHARU ARIFFUL BAQI- PROJEK THRILLER CIP

Assalamualaikum.

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi.

Karya ketiga saya bertajuk MANIPULASI dalam PROJEK THRILLER CIP akan diterbitkan oleh Buku Prima Karangkraf dalam masa yang terdekat ini.

Projek Thriller ini menggabungkan tiga orang penulis dalam satu buku, dengan cerita yang berbeza namun menggunakan tema yang serupa.

Di bawah ini ialah cover PROJEK THRILLER CIP yang menggabungkan tiga orang penulis iaitu FITRI HUSSIN, SUFI ABQARI dan saya sendiri, ARIFFUL BAQI.



PROJEK THRILLER CIP ini adalah yang kelima selepas projek-projek thriller yang telah terbit di pasaran.

Posting akan datang, saya akan naikkan kesemua cover Projek Thriller terbitan Buku Prima.

Semoga anda semua terus menyokong genre thriller, fantasi dan saifai di Malaysia! 

Tuesday, June 13, 2017

PESTA BUKU ANTARABANGSA KUALA LUMPUR 2017

Antara gambar yang sempat diambil semasa PBAKL 2017 beberapa bulan yang lalu.

Bersama Zaki Zainol, penulis TAKLUK JAGAT & INDERA BUMI

Bersama Tuan Amad Patria, penulis novel fantasi yang terkenal dan hebat. Dalam siri Aristokra. Serta Azrul Jaini, penulis Galaksi Muhsinin.

Pertama kali penulis menyentuh novel KIUB

Amin ketakutan bersama penulis seram dan thriller, Syaida Ilmuna(Jangan Percaya), Anuar Darwisy(Jangan Biar Dia Masuk I&II), Helmi Effendy (Dari Alam Lain) dan Naim Tamdjis (Kakak Kemboja).

Bersama novelis seram dan thriller Karangkraf. Helmi Effendy (The Lost World), Riduan Judin (Penjara Hati), Saidee Nor Azam (Margastua) dan Naim Tamdjis (Roh Rumah Sewa)

Terserempak penulis sains fiksyen yang konsisten, Lokman Hakim di atas jejantas. 

Lagenda kegemaran ramai, Tuan Ramlee Awang Murshid  Novelis Thriller Nombor 1 Malaysia

Kini saya mempunyai dua karya bersama KARANGKRAF.
KORBAN dan KIUB.

Sesi tandatangan buku untuk peminat

Bersama salah seorang peminat yang sudi membeli novel KIUB

Novelis seram Malaysia, Anuar Darwisy juga sudi mendapatkan KIUB

Pentas Utama Karangkraf

Raikhal dan Raiha menyertai pertandingan mewarna Ana Muslim

Maskot Ana Muslim



Sunday, May 14, 2017

SEJARAH KEHIDUPAN RASULULLAH : SIRI 1- TERBINANYA KAABAH



SEJARAH KEHIDUPAN RASULULLAH S.A.W

SIRI 1 : TERBINANYA BANGUNAN KAABAH

PENDAHULUAN

Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar yang mulia Nabi Muhammad Sallallahu a’laihi wasallam.

Dalam menghargai nikmat Iman dan Islam, semestinya kita akan terkenangkan kisah perjuangan manusia pilihan TUHAN yang sanggup mengorbankan segala-galanya demi melihat umat manusia berubah dari era kerosakan kepada kemajuan peradaban yang penuh dengan adab dan akhlak. Juga misi mengubah kepercayaan spiritual masyarakat yang ketika itu hidup berpaksikan berhala tidak bernyawa kepada keimanan mentauhidkan TUHAN YANG ESA.
                Tidak lain dan tidak bukan, insan pilihan TUHAN itu ialah Nabi Muhammad sallallahu a’laihi wasallam yang berjaya membawa revolusi ketamadunan sehingga ajarannya berkembang luas ke serata dunia sehingga ke hari ini. Menjadikan agama Islam sebagai agama terbesar yang dianuti umat manusia. Tidak hairan sekiranya seorang ahli sejarah dari Amerika, Michael Hart yang menulis buku bertajuk, ‘100 tokoh-tokoh berpengaruh sepanjang zaman meletakkan Nabi Muhammad sebagai tokoh berpengaruh melebihi zamannya sendiri.
                Dari itu tergerak di hati saya untuk menulis sejarah kehidupan Rasulullah yang mulia, supaya dengannya tergerak di hati kita untuk menghayati rasa kasihnya kecintaan baginda kepada kita, umatnya. Yang dengannya saya menaruh harapan agar coretan sejarah ini dapat membuka tabir kejahilan umat yang tidak lagi mengenali Rasulullah sebagai tauladan hati.
                Sebelum dimulakan, adalah baik sekiranya kita mengetahui terlebih dahulu peristiwa yang terjadi sebelum Rasulullah dilahirkan, juga tentang sejarah bangsa Arab yang dapat dibezakan kehidupan mereka di antara sebelum dan selepas kelahiran baginda, serta perubahan besar Tanah Arab yang dapat difahami dengan menghayati sejarah hidup Rasulullah sallallahu a’laihi wasallam.
                Kisah ini juga akan dibahagikan kepada beberapa siri bagi memudahkan pembacaan dan penerimaan dalam menghayati sejarah manusia agung yang namanya tercatat di dalam kitab suci al-Quran.

TERBINANYA KAABAH

Kisah Nabi Ibrahim membawa isterinya Siti Hajar dan anak kesayangan mereka Ismail ke padang pasir tidak bertumbuhan dan kering kontang bukan perkara asing lagi bagi kita. Semuanya demi menurut perintah TUHAN supaya meninggalkan mereka di suatu tempat bernama Mekah.
                Semasa Nabi Ibrahim mahu meninggalkan mereka, isterinya berasa pelik kerana di situ tiada apa-apa yang boleh dimakan, diminum bahkan tiada manusia. Siti Hajar bertanya mengapa mereka ditinggalkan di situ tetapi tidak diendahkan oleh Nabi Ibrahim sehinggalah Siti Hajar bertanya, “adakah ini perintah ALLAH?”
                “Benar.” Jawab Nabi Ibrahim.
                Siti Hajar berkata dengan penuh yakin, “Jika begitu, pasti TUHAN tidak akan mensia-siakan kita. Sekiranya ini adalah perintah TUHAN, pasti ada pembelaan daripada TUHAN Yang Maha Baik itu.”
                Apabila si anak menangis kehausan, berlarilah Siti Hajar mencari air dari Bukit Safa menuju ke Bukit Marwah dengan cemas memandangkan susunya yang telah mula kering. Kerana tingginya pengharapan dan rintihan Siti Hajar kepada TUHAN, TUHAN menghantar Jibril untuk memancarkan air zamzam apabila Ismail menghentak-hentakkan kakinya ke bumi. Inilah sejarah telaga zamzam yang masih lagi mengeluarkan airnya sehingga ke hari ini dan terletak berdekatan dengan bangunan Kaabah di Mekah.
                Menurut ahli sejarah, peristiwa ini berlaku selepas empangan besar Yaman bernama Sadd Maarib pecah. Empangan Maarib adalah empangan yang besar dan menjadi sumber air dan kehidupan di Yaman ketika itu. Selepas empangan itu pecah, bangsa Arab yang berasal dari Yaman berpindah dan mencari tempat baru. Suku Aus dan Suku Khazraj ke Madinah. Suku Ghasassisah ke negeri Syam. Suku Manazirah pula sampai ke sempadan Iraq.
                Pada masa itu, Suku Jurhum yang melalui kawasan berdekatan Mekah ternampak burung-burung berterbangan yang menandakan adanya air di kawasan itu. Mereka hairan kerana mengetahui bahawa Mekah tidak pernah mempunyai air lalu membuat keputusan untuk memeriksa sama ada benarkah ada air di situ.
                Apabila mereka melihat ada seorang perempuan bersama anak kecilnya di tempat air itu, mereka tidak cuba untuk merampasnya sebaliknya meminta izin daripada Siti Hajar untuk berkongsi air malah sanggup membayar sewa air itu.
                Selepas Ismail dewasa, TUHAN memerintahkan Ibrahim dan Ismail membina Kaabah di atas tapak asal Kaabah yang mula-mula dibina oleh Adam. Kaabah dari perkataan Arab yang bermaksud tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran, selain turut bermakna segi empat berbentuk kiub. Kaabah sudah dibina oleh Adam, manusia pertama ciptaan TUHAN tetapi kemudian runtuh dan terkambus.
                Dikatakan ALLAH telah memerintahkan Nabi Adam supaya mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit. Baitul Makmur merupakan tempat khas yang diciptakan TUHAN khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy. Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukannya untuk menghabiskan satu tawaf ia mungkin menjangkau waktu sehingga ke hari kiamat.
                Semasa Ibrahim dan Ismail hampir siap membina Kaabah, mereka mencari batu yang paling sesuai untuk diletakkan di satu penjuru, namun tidak menemuinya. Ketika itulah TUHAN menurunkan seketul batu dari syurga yang disebut Hajar Aswad, yang ada di dinding Kaabah sehingga hari ini.
                Kaabah hanyalah bangunan daripada batu yang disusun-susun. Bagaimana hendak memanggil orang supaya datang menziarahi Kaabah? Oleh itu, TUHAN memerintahkan Ibrahim membuat seruan kepada manusia.
                Ibrahim berkata, “Wahai TUHAN! Bagaimana suara aku boleh sampai kepada pendengaran semua manusia?”
                Tetapi TUHAN menegaskan , tugas Ibrahim hanyalah membuat seruan. DIAlah yang menyampaikan kepada manusia.
                Oleh itu, Nabi Ibrahim pun naik ke Bukit Arafah yang terletak dekat dengan Kaabah dan telaga Zamzam. Dari atas bukit itu baginda menyeru manusia dari seluruh dunia supaya datang menziarahi Kaabah. Suaranya didengari semua manusia dan TUHAN memasukkan ke dalam hati mereka untuk mencintai Kaabah. Dengan itu, bermulalah orang ramai datang melakukan ibadah haji dan memuliakan Kaabah. Sejak dari itu, bangsa Arab menganut agama Ibrahim yang satu iaitu agama yang hanya menyembah ALLAH.

Bersambung…

Rujukan:
Zulkifli dan Noor Naemah, Biografi Muhammad bin Abdullah, PTS ISLAMIKA SDN BHD, 2007

Abu Bakar Omar, Muhammad bin Abdullah,Pustaka Ilmuwan, 2013