Monday, June 25, 2012

DOA SOLAT ISTIKHARAH

Doa Istikharah bererti:
Memohon semoga Allah menunjukkan keputusan yang terbaik untuk dilaksanakan.






   

Kata Jabir bin Abdullah: Rasulullah s.a.w. mengajar kami beristikharah dalam semua pekerjaan seperti baginda mengajar kami satu surah dari Al-Quran, sabdanya: "Apabila seseorang kamu mempunyai rancangan untuk melakukan sesuatu hendaklah dia melakukan solat sunat dua rakaat, kemudian bacalah doa ini:



"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmuMu dan aku memohon 
ketentuan daripadaMu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaanMu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak  berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahu segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini (sebutkan..) adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini (sebutkan..) mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku,  kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".

(sebutkan urusan yang dimaksudkan di tempat yang bertitik).


Tidak akan menyesal sesiapa yang bertanyakan penciptanya dan berbincang dengan orang-orang mukmin kemudian berhati-hati dalam menangani persoalannya.
Allah telah berfirman:

"Dan berbincanglah dengan mereka (para sahabat) dalam urusan itu (peperangan, ekonomi, politik dll). Apabila kamu telah membulatkan tekad, bertawakallah kepada Allah".




STRATEGI BERAMAL SALMAN AL-FARISI

Di satu waktu ketika Rasulullah saw bersama para sahabatnya, lalu baginda mengacukan soalan kepada mereka semua yang hadir,

"Siapakah di antara kalian yang melakukan puasa yang terus menerus dan tidak henti-henti?’
"Saya wahai Rasulullah saw " Jawab Salman Al-Farisi yang hadir di tengah-tengah khalayak ramai.
"Siapa yang sentiasa menghidupkan malamnua?" tanya Nabi saw lagi.
"Saya wahai junjunganku Rasulullah saw," Jawab Salman Al-Farisi lagi.
"Siapa yang mengkhatamkan Al-Quran setiap hari?" Soal Rasulullah lagi.
"Saya juga mengkhatamkannya ya Rasulullah saw," kata Salman Al-Farisi.

Melihat keadaan tersebut, sebahagian para sahabat membangkang. Kata mereka,
"Ya Rasulullah saw, Salman adalah orang Parsi. Dia hanya mahu membanggakan sukunya sahaja terhadap kami. Dia tidak melakukan puasa terus menerus kerana hampir setiap hari kulihat dia makan seperti biasa. Dia tidak bangun sepanjang malam kerana kulihat dia tidur hampir sepanjang malam. Dia juga tidak mengkhatamkan Al-Quran setiap hari kerana kulihat dia lebih banyak berdiam daripada membaca Al-Quran.
"Wahai Polan, janganlah engkau bersikap agak meremehkan orang seperti Lukman Al-Hakim ini. Tanyalah kepadanya, kelak nanti engkau akan mendapat jawapannya " Nasihat Rasulullah  saw
"Wahai Salman, bagaimana engkau mengaku melakukan puasa sunat padahal hampir setiap hari aku melihatmu makan?" tanyanya
"Benar apa yang kamu duga. Aku hanya berpuasa sunat selama tiga hari sahaja pada setiap bulan . Tapi Allah berfilman
"Siapa yang melakukan perbuatan baik maka baginya sepuluh kali ganda seumpamanya ." 
Surah Al-Anam – 160
Kemudian aku akan berpuasa pada bukan Syahban yang kulanjutkan terus sampai bulan Ramadan Semua itu dikatakan sebagai puasa sunat terus menerus.

"Lalu bagaimana dengan bangun sepanjang malam yang engkau katakan itu padahal engkau lebih banyak tidur berbanding bangun pada akhir malam"?" pertanyaan di acukan lagi kepada Salman Al Farisi.
"Tidak benar apa yang engkau duga. Namun aku mendengar kekasihku, Rasulullah saw  bersabda :
"Sesiapa yang tidur dalam keadaan bersuci, seakan-akan dia menghidupkan malam tersebut. Dan aku sentiasa tidur malam dalam keadaan bersuci."

"Kemudian bagaimana dengan mengkhatamkan Al-Quran padahal hampir setiap hari engkau lebih banyak berdiam,"
Aku dengar kekasihku, Rasulullah saw berkata kepada Ali ra.
"Ya Abal Hassan, kedudukanmu di tengah umatku seperti kedudukan Qul Huallahu Ahad di dalam Al-Quran. Sesiapa yang membacanya sekali, maka dia telah membaca sepertiga Al-Quran; sesiapa yang membacanya dua kali, dia telah membaca dua pertiga Al-Quran dan sesiapa yang membacanya 3 kali, maka dia telah mengkhatamkan Al-Quran.
Sesiapa yang mencintaimu Ya Abal Hassan, sekadar lidahnya, maka dia telah memperoleh sepertiga dari iman, sesiapa yang mencintaimu dengan lisan dan hatinya, maka dia telah memperolehi dua pertiga daripada imam. Sesiapa yang mencintaimu dengan lisan dan hatinya, lalu membantu (perjuangannya) dengan tangannya, maka sempurnalah imamnya. Demi yang mengutusku dengan kebenaran,  apabila penghuni bumi ini mencintaimu seperti penghuni langit yang mencintaimu, maka tidak satu pun dari mereka yang akan diseksa dengan api neraka. Dan aku membaca Qul Huallahu Ahad setiap hari sebanyak tiga kali. "


wallahualam

Sunday, June 24, 2012

TEMPAT YANG DIBOLEHKAN UNTUK MENGUMPAT

Firman Allah dalam ayat 12 surah al-Hujurat :

…..وَلاَ يَغْتَبْ بَعْضُكُمْ بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَنْ يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ……..

Maksudnya : …dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya….

قال الرسول e : إِيَّاكُمْ وَالغِيْبَةَ فَإِن َّالغِيْبَةَ أَشَدُّ مِنَ الزِّنَا. قِيْلَ لَهُ كَيْفَ؟ قَالَ : إِنَّ الرَّجُلَ قَدْ يَزْنِي وَ يَتُوْبُ فَيَتُوْبُ اللهُ عَلَيْهِ وَإِنَّ صَاحِبَ الغِيْبَةِ لاَ يُغْفَرُ لَهُ حَتَّى يَغْفِرَ لَهُ صَاحِبُهُ

Maksudnya: Jauhkan oleh kamu akan dirimu dan takut oleh kamu akan mengumpat kerana bahawasanya mengumpat itu lebih bersangatan daripada zina. Dikatakan bagi Rasulullah s.a.w : Betapa? Ertinya, kerana apa mengumpat itu lebih besar daripada zina?. Bersabda baginda : Bahawasanya seorang lelaki itu terkadang dia berzina dan lantas bertaubat maka Allah menerima akan taubatnya. Dan bahawasanya orang yang mengumpat itu tiada diampuni baginya sehingga memaaf baginya oleh orang yang diumpatnya. ( Diriwayatkan oleh Ibnu Abi ad-Dunya dan Abu Asy-Syeikh dari Jabir dan Abi Sa’id )


Hukum mengumpat itu haram dengan ijma’ melainkan pada 6 tempat yang diharuskan mengumpat padanya iaitu :

1.Orang yang mengadu pada penguasa tentang kezaliman seseorang dengan menyebut nama orang zalim itu dan perbuatannya bertujuan untuk menghentikan kezalimannya.

2.Orang meminta tolong bagi menghilang maksiat pada sesuatu tempat kepada yang berkemampuan dengan menyebut nama pelaku maksiat dan kesalahannya bertujuan untuk menghentikan maksiat itu.

3.Orang yang meminta fatwa daripada yang berkelayakan tentang sesuatu masalah yang terpaksa menyebut nama dan kelakuan seperti seorang isteri bertanya tentang hal suaminya dan sikapnya yang buruk.

4.Orang yang menakutkan orang Islam lain tentang kejahatan seseorang supaya terselamat daripada keburukan orang itu seperti menyebut kelakuan jahat seseorang perempuan yang diingini untuk dikahwini bila ditanya agar bakal suaminya tidak tertipu dan selama.

5.Menyebut nama seseorang yang masyhur dengan nama buruk seperti Amin Tempang dan sebagainya.

6.Menyebut nama orang yang menzahirkan kejahatannya bertujuan supaya orang lain berhati-hati dengannya dan juga agar dia menghentikan kesalahannya itu.

CABARAN-CABARAN DALAM BERDAKWAH

Terdapat dua perkara utama yang menjadi cabaran dalaman kepada gerakan dakwah di Malaysia kini iaitu personaliti dan sikap orang Islam sendiri. Sebahagian umat Islam kini, mereka kelihatan sukar mempertahankan personaliti unggul sebagai muslim sejati seperti yang diharapkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Personaliti negatif yang dipamerkan tersebut menyukarkan usaha untuk mempromosi atau memasarkan Islam pada pihak lain, terutama yang bukan Islam.

Selain itu juga kesukaran umat Islam untuk melahirkan golongan pendakwah Muslim yang bersifat mutafaqqih fi al-din hanya secara ikhlas dan amanah, iaitu golongan yang mendalami ilmu keagamaan Islam secara menyeluruh dan betul. Personaliti Muslim seperti ini agak sukar dibentuk kerana tabi’I manusia yang sentiasa terpengaruh dengan tuntutan keduniaan yang sememangnya kelihatan sangat mencabar.

Segolongan individu yang terlibat dengan kerja dakwah adalah tidak professional. Mereka mendakwa menjalankan kerja dakwah tetapi tidak mempunyai bahan dakwah yang mencukupi dan tidak relevan dengan keperluan golongan sasaran dakwah. Ramai pendakwah yang hanya boleh menyampaikan apa yang mereka miliki, bukan apa yang sebenarnya diperlukan oleh masyarakat. Aspek perancangan dan penilaian tentang aktiviti dakwah tidak sangat diberi perhatian.


Dakwah kini lebih bersifat tabligh dan retorik dengan hanya difahami sebagai satu usaha menyampaikan pesanan tentang Islam kepada manusia. Isi dan bahan dakwah yang disampaikan kini lebih bersifat informatif. Disamping itu, segolongan para pendakwah juga tidak memiliki pengetahuan dan kemahiran tentang metodologi yang jelas bagaimana dakwah itu harus dijalankan.


Para pendakwah pada masa kini kurang memiliki asas strategi yang baik, tidak memiliki ‘common interest’, kurang perencanaan dan kurang mempunyai wawasan yang jelas apabila menjalankan aktiviti dakwah. Para pendakwah juga tidak memiliki kemahiran berdakwah yang mencukupi seperti tidak mempunyai pengetahuan asas yang mencukupi tentang ilmu berdakwah. Akibatnya golongan tersebut tidak mampu memberikan landasan konseptual, kontekstual dan kordinasi yang kukuh dalam kerja-kerja dakwah.


Sikap prejudis masyarakat bukan Islam terhadap umat Islam telah menyukarkan gerakan dakwah. Tuduhan-tuduhan terhadap Islam selalu dilemparkan oleh golongan bukan Islam, seperti Islam itu mundur, zalim, tidak sesuai dengan masa dan tamadun dan Islam tidak mampu untuk membina kekuatan manusia masa kini.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku terutamanya di negara-negara Islam digambarkan sebagai lambang keganasan kumpulan-kumpulan orang Islam. Dengan adanya prejudis seperti ini, bukan setakat menghilangkan tarikan orang bukan Islam untuk mengenali Islam, malah menimbulkan kebencian mereka terhadap Islam dan penganutnya. Akibatnya, usaha-usaha dakwah yang diatur untuk masyarakat bukan Islam agak sukar untuk mendapat perhatian mereka.




sumber : http://jsyahira.blogspot.com