Friday, December 26, 2014

KEISTIMEWAAN RASULULLAH - bahagian 2

Keistimewaan Rasulullah ( Kiyahi Hj Sirajuddin Abbas)




6. Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam kuasa memikul wahyu al-Quran, sedangkan bukit tidak kuasa memikulnya.

Firman ALLAH-

Katakanlah (wahai Muhammad): "Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu, diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah ALLAH yang satu; oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya. - surah al-Kaff ayat 110

Rasulullah adalah manusia seperti kita, bukan malaikat dan bukan jin. Perbezaannya dengan kita, Rasulullah dikurniakan wahyu dan kita tidak. Manusia yang menerima wahyu Ilahi bukan sebarang manusia melainkan mereka memiliki mental dan fizikal yang kuat. Andai al-Quran diturunkan kepada bukit, nescaya bukit itu akan hancur, tidak kuasa memikulnya.

Firman ALLAH-

Sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung, nescaya engkau melihat gunung itu khusyuk serta pecah belah kerana takut kepada ALLAH, dan (ingatlah), misal-misal perbandingan ini Kami kemukakan kepada umat manusia, supaya mereka memikirkannya. - Surah al-Hasyr ayat 21.


7. ALLAH dan malaikatNya menghormati dan memberikan rahmat kepada Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam

Firman ALLAH-

Sesungguhnya ALLAH dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam; wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. surah al-Ahzab ayat 56.

Syeikh Ahmad bin Muhammad Ash Shawi dalam tafsirnya yang terkenal 'Tafsir Shawi' mentafsirkan ayat ini : ALLAH menghormati dan menurunkan rahmatNya atas Nabi, malaikat-malaikat juga menghormati dan memohonkan rahmat ALLAH untuk Nabi. ALLAH mmerintahkan untuk sekalian manusia yang beriman supaya menghormati dan memohonkan rahmat untuk Nabi.

Kemudian al Shawi menerangkan bahawa ini bukti bahawa Rasulullah yang paling mulia dibandingkan dengan makhluk-makhluk lainnya yang dimuliakan ALLAH. Kerana rahmatNya diturunkan serentak dengan penghormatanNya kepada Rasulullah. Adapun makhluk yang lain ALLAH hanya berikan rahmatNya sahaja.


8. Taubat orang yang derhaka pasti diterima ALLAH, kalau Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam turut meminta keampunan.

Firman ALLAH-

Dan Kami tidak mengutus seorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin ALLAH, dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (Wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada ALLAH, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati ALLAH Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani- surah an-Nisaa ayat 64.


9. Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam mi'raj dari Makkah ke Baitul Maqdis dan dari situ naik ke langit ketujuh

Firman ALLAH- 

Maha suci ALLAH yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa(Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya ALLAH jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.- surah al-Isra' ayat 1)

Rasulullah diberikan mukjizat oleh ALLAH untuk berjalan dari Mekah ke Palestin, kemudian naik ke langit ketujuh bertemu ALLAH hanya dalam satu malam sahaja. Ini merupakan kemulian yang ALLAH kurniakan buat Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam.


10. Tidak boleh memanggil Rasulullah seperti memanggil atau menyapa orang biasa.

Firman ALLAH-

Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu- surah an-Nur ayat 23.

Ayat ini menyatakan bahawa memanggil Rasulullah mestilah secara hormat dan sopan, umpamanya :

a) Berkata Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam
b) bersabda Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam
c) demikian dalam syariat junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam
d) demikian menurut Penghulu kita Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam
e) Perkara ini diperintahkan oleh Nabi kita, Penghulu kita Muhammad sallallahu a'laihi wasallam
f) Perkara ini dilarang oleh Junjungan kita Nabi Muhammad sallallahu a'laihi wasallam
g) dan lain-lain kata penghormatan

dalam perkara ini janganlah sesekali menyebut nama atau panggilan baginda sallallahu a'laihi wasallam dengan mudah sahaja sebagaimana panggilan sesama kita, umpamanya seperti berikut :

a) berkata Muhammad
b) demikian sabda Muhammad
c) Ikutlah Muhammad
d) Berkata si Muhammad
e) Ikutlah si Amat
f) Perkara itu dilarang oleh Muhammad
g) ini adalah anjuran si Muhammad orang Arab
h) Nabi kita ni mamat macam mamat kampung kita
i) dan lain-lain sebutan yang menggambarkan tidak sopan dan tidak hormat.

Ayat ini terang mengatakan bahawa Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam tidak sama dengan orang biasa.


11. Berjanji dengan Rasulullah seolah-olah berjanji dengan ALLAH

Firman ALLAH- 

Sesungguhnya orang-orang yang memberi pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad- untuk berjuang menentang musuh), mereka hanyasanya memberikan taat setia itu (untuk membalasnya). Oleh itu, sesiapa yang tidak menyempurnakan janji setianya maka bahaya tidak menyempurnakannya itu hanya menimpa dirinya; dan sesiapa yang menyempurnakan apa yang telah dijanjikannya kepada ALLAH, maka ALLAH akan memberi kepadanya pahala yang besar. - surah al-Fath ayat 10

ayat ini menyatakan bahawa Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam adalah insan yang dimuliakan oleh ALLAH, insan yang dijadikannya khalifah di atas muka bumi sehingga sekalian orang yang berjanji dengan baginda, seolah-olah sudah berjanji kepada ALLAH.


12. Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam berada dalam sulbi Nabi-nabi

Firman ALLAH-

Dan berserahlah kepada ALLAH Yang Maha Kuasa, lai Maha Mengasihani (217)
Yang melihatmu semasa engkau berdiri ( mengerjakan solat) (218)
Dan (melihat) gerak-gerimu di antara orang-orang yang sujud (219) - Surah asy-Syura ayat 217-219

Ibnu Abbas dalam menafsirkan ayat ini, ALLAH melihat Rasulullah, ketika nabi bolak-balik dalam sulbi bapa-bapanya. Nabi Adam, Nabi Nuh, Nabi Ibrahim sebelum Rasulullah lahir ke dunia.

bersambung...


rujukan :  Kuliah Dhuha- Keistimewaan Rasulullah sallallahu a'laihi wasallam (Kiyahi Haji Sirajuddin Abbas)- disampaikan oleh al-fadhil ustaz Hj Rosli bin Othman: ahli majlis fatwa negeri Pulau Pinang)

No comments: